Seminar Antarabangsa Setuju Perkasakan Pengajian Islam Dalam Era Revolusi Industri 4.0

26 September 2019 (KUANTAN) – “Cendekiawan dan ilmuwan Islam hari ini perlu bangkit untuk mengembalikan kegemilangan Islam sebagaimana yang telah dicapai oleh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi dan Ibnu Batutah yang telah mencetus revolusi dalam bidang ilmu Perubatan, Matematik dan Pelayaran pada ketika dunia Eropah masih berada dalam era kegelapan”. Demikian menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang yang mewakili YAB. Menteri Besar Pahang ketika merasmikan Majlis Penutupan Seminar Pengajian Islam Antarabangsa (SePIA 1.0). Tambah beliau lagi, pencapaian Sains dan Teknologi hari ini sebenarnya banyak yang diasaskan oleh para cendekiawan Islam silam dan diambil oleh negara-negara barat untuk dimajukan.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar seminar ini diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan mampu untuk menjadi platform kepada para cendekiawan dan ilmuwan Islam dari seluruh dunia berkongsi maklumat dan pandangan sebagai usaha memperkasakan umat Islam sehingga mampu untuk menerajui kemajuan di masa hadapan selain memperkukuh perpaduan sesama umat dari pelbagai negara.

SePIA 1.0 yang julung kali diadakan ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 25 dan 26 September bertempat di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan bertemakan “Cabaran Pengajian Islam dalam Era Revolusi Industri 4.0”. Seminar ini bertujuan untuk memperkukuhkan bidang Pengajian Islam supaya mampu mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Seminar anjuran KUIPSAS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini melibatkan kehadiran seramai 12 orang pembentang dari Timur Tengah seperti Arab Saudi, Iraq, Mesir, Jordan, Sudan, Kuwait, Libya dan Yaman selain 60 orang pembentang dari Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri.

Ucaptama seminar telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS bertajuk “Cabaran Pengajian Islam Dalam Era Revolusi Industri 4.0”. Di antara inti pati ucapan beliau adalah Islam sebenarnya tidak pernah menolak kemajuan selari dengan sabda Nabi SAW dalam Hadis Riwayat Muslim iaitu “kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian”. Revolusi Industri 4.0 ini juga telah membuktikan apa yang termaktub dalam al-Quran mendahului zamannya memandangkan fakta sains yang dinyatakan di dalam al-Quran telah terbukti benar melalui kajian-kajian yang dilakukan pada hari ini.

Antara pembentang-pembentang kertas utama yang lain dalam seminar ini adalah YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, YBhg. Prof Dr. Abdul Basir bin Mohamed dan YBrs. Dr. Amran bin Muhammad.

Dalam Majlis Perasmian Penutupan seminar, YBrs. Dr. Ahmad Effat Mokhtar, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS selaku pengarah seminar telah membentangkan resolusi seminar ini, antaranya:

1- Seruan agar para pendidik dan cendekiawan Islam sentiasa menyedari bahawa bidang Pengajian Islam sedang menghadapi cabaran yang kompleks untuk terus kekal relevan dalam era Revolusi Industri 4.0.

2- Menghayati falsafah, matlamat dan disiplin pengajian Islam dengan tepat supaya ilmu aqli dan naqli serta konsep thabat dan murunah dapat disampaikan dan diberi pemahaman yang betul kepada masyarakat.

3- Memahami kekuatan bidang Pengajian Islam untuk terus berkembang dan berdaya saing

4- Merancang pelan tindakan serta mengaplikasikan teknologi terkini dalam Pengajian Islam untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Seminar ini telah dihadiri oleh lebih 300 peserta dalam dan luar negara dan diharapkan dapat memberikan impak positif kepada hala tuju bidang Pengajian Islam agar kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.