Akademi Hadis

STRUKTUR

     

Akademi hadis ini ditubuhkan hasil cetusan idea Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah pada 21 Jun 2019. Sehubungan dengan itu, KUIPSAS dipertanggungjawabkan bagi mewujudkan sebuah institusi hadis memasyarakatkan pengajian hadis ke peringkat yang lebih formal dan lebih baik di samping memperkasa kedudukan hadis sebagai sumber kedua syariat Islam. Penubuhan Akademi Hadis ini mendokong visi dan misi untuk melahirkan masyarakat yang celik hadis dan membina ilmuwan Islam yang pakar dalam bidang hadis.

 

Cetusan yang dihasratkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini merupakan sebuah hasrat mulia bagi mengimbangi perkembangan sekolah atau institusi berorientasikan aliran tahfiz al-Quran yang pesat membangun. Masyarakat awam sangat teruja dengan kewujudan institusi aliran tahfiz dengan memberi sokongan dan galakan. Hadis merupakan rujukan dan sandaran kedua syariat Islam di samping al-Quran. Namun begitu, pusat pengajian yang memfokuskan bidang hadis kurang menyerlah dan tidak mendapat sokongan dan perhatian yang baik dalam kalangan masyarakat. Tidak banyak institusi pengajian yang menawarkan pengajian hadis di Malaysia amnya dan di Pahang khasnya.

 

Satu kajian awal telah dilakukan dan mendapati hanya terdapat beberapa pusat pengajian berkaitan hadis di Malaysia dan luar negara: (Fauzi Deraman, 2013), di Malaysia, antaranya ialah Institut Kajian Hadith Selangor (INHAD), ditubuhkan pada tahun 2008 yang berpusat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Seterusnya, konsep pengamalan pengajian hadis berteraskan sistem madrasah (pondok) Darul Quran Wal Hadith Deobandi, Kuala Kangsar, Perak ditubuhkan pada tahun 2008. Termasuk pengajian hadis yang dijalankan di Alor Setar, Kedah seperti Darul Hadis dan juga di Jerantut, Pahang yang diasaskan pada tahun 2008 iaitu Darul Ulum al-Islamiah. Terdapat juga sistem sekolah yang mengamalkan pengajian secara tradisi (turath) bagi pengajian hadis secara bertalaqqi selain menyediakan sistem pembelajaran yang mengikut piawaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Ma’alim al-Sunan li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah (MSN), di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang ditubuhkan pada bulan Jun 2016. Manakala di luar negara pula seperti, Dar al-Hadith al-Hasaniyyah, Rabat Morocco yang ditubuhkan pada tahun 1964. Kedua, Centre of Research on Sunnah and Sirah in Al-Azhar University yang ditubuhkan pada tahun 2004. Ketiga, Markaz Khidmat Al-Sunnah and Al-Sirah Al-Nabawiyyah berpusat di Universiti Islam Madinah, Saudi Arabia yang ditubuhkan pada tahun 1985. Keempat, Dar Al-Hadith Al-Ashrafiyyah yang ditubuhkan pada tahun 1209. Dan kelima, Madrasah Al-Kamiliyah yang diitubuhkan pada tahun 1201.

 

Hasil daripada perbincangan pihak pentadbiran KUIPSAS, maka tertubuhnya secara rasmi sebuah akademi yang dinamakan Akademi Hadis KUIPSAS bersempena idea dan cetusan yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Negeri Pahang Darul Makmur.

Akademi :

Bermaksud sebuah pusat atau institusi yang menjalankan aktiviti berteraskan penyelidikan dan pengkajian sesuatu bagi menghasilkan pengetahuan ilmiah ahli serta mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung (Kamus Dewan, 2009).

 

Hadis :

Secara etimologinya, perkataan hadis (حَدِيْث) memberikan pelbagai makna, antaranya ialah:

  1.        Baharu (جَدِيْدٌ), antonimnya ialah lama (قَدِيْمٌ).
  2.        Percakapan atau perkataan.

: Secara terminologinya, perkataan hadis (حَدِيْث) bermaksud:

“Sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan, taqrir (pengakuan), sifat fizikal atau akhlak sama ada yang berlaku sebelum diutus sebagai rasul atau sesudah diutus sebagai Rasul”.

(Mohd Yusuf Ismail et al 2018)

RASIONAL

Akademi Hadis KUIPSAS ditubuhkan bagi memasyarakatkan pengajian hadis
dalam kalangan masyarakat khususnya rakyat di Negeri Pahang di samping
menghidupkan suasana tradisi pembelajaran hadis secara tradisional dan
kontemporari. Ia juga mendukong hasrat memartabatkan kedudukan hadis
sebagai sumber kedua perundangan dan syariat Islam.

VISI

Menjadi Pusat Rujukan Dan Kecemerlangan Ilmu Hadis
di Negeri Pahang

MISI

Beriltizam meningkatkan kualiti pengajian dan penyelidikan hadis secara
seimbang dan dinamik bagi melahirkan masyarakat yang cintakan hadis dan
sunnah demi kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

OBJEKTIF

• Memperkasa kedudukan hadis dan mempertahankannya
sebagai sumber syariat yang kedua selepas al-Quran al-Karim.
• Memasyarakatkan pengajian hadis dalam kalangan rakyat
khususnya negeri Pahang melalui penganjuran aktiviti yang
pelbagai bagi semua peringkat.
• Bekerjasama dengan pusat atau instutusi-instutusi kajian hadis dan
organisasi yang releven samada peringkat tempatan dan antarabangsa
melalui penganjuran program dan kajian penyelidikan.
• Menghasilkan dan Menterjemah karya-karya hadis yang releven serta
menyebarkan karya-karya yang dihasilkan dalam kalangan masyarakat.
• Melahirkan penyelidik-penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam
bidang hadis yang mampu menyelesaikan permasalahan
berkaitan hadis.

ROGRAM DAN AKTIVITI YANG TELAH DILAKSANAKAN

Akademi hadis mempunyai pelbagai perancangan dan aktiviti yang bakal direncanakan bagi melahirkan masyarakat yang sentiasa cakna dan peka dalam isu yang berkaitan dengan hadis.

Antara program berikut ialah:

  1. Program Pembacaan Kitab Hadis Bersama Al-Muhadis Al Shaykh Mustafa Al Nadawi Al Husayni Pada 12 November 2019 di Dewan Utama KUIPSAS
  2. Menganjurkan Daurah Kitab (berkala). Daurah Kitab sebuah program yang lebih ke arah pengajian hadis secara turath atau klasik. Daurah yang dianjurkan lebih memfokus kitab-kitab asas pengenalan hadis, amalan harian berdasarkan hadis, perbahasan hadis dan penjelasan ringkas dalam kitab-kitab asas dan lain-lain. Seperti yang telah berjalan:

Program Daurah Kitab Hadis (berkala selama satu tahun 2020) dianjurkan bersama dengn Fakulti Pengajian Islam KUIPSAS, Pusat Islam KUIPSAS dan Yayasan Pahang berpusat di Dewan Kuliah, Masjid KUIPSAS yang disertai seramai 100 orang peserta terdiri daripada kakitangan awam dan swasta, pelajar sekolah dan kakitangan serta pelajar KUIPSAS. Program yang julung kalinya dianjurkan di Negeri Pahang masih dan sedang berlangsung bermula pada 24hb Disember 2019 hari Selasa yang dirasmikan oleh Mufti Negeri Pahang, Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman. Penceramah dan pendiskusi kitab hadis terdiri daripada mereka yang berlatar belakangkan bidang pengajian hadis secara langsung. Kitab-kitab hadis yang diisi dalam program daurah tersebut merupakan kitab asas dalam pembelajaran hadis mengikut kesesuaian peserta yang menyertai seperti Kitab alArba’un al-Nawawiah, 40 Hadith Fardhu ‘Ayn Al-Arba’un al-Tusiyyah dan lain-lain.

Termasuk perancangan pada masa hadapan akan dianjurkan daurah kitab-kitab turath lain yang akan difikirkan seperti, daurah Sahih alBukhari, Sahih Muslim, al-Adab al-Mufrad, Syama’il Muhammadiyah, alMuwatta’, Riyad al-Salihin dan lain-lain berkaitan.

  1. Program Pembacaan Matan dan Sanad Hadis Sahih Al Bukhari secara online UNJURAN PROGRAM DAN AKTIVITI (2020 – 2022)
  2. Mengadakan Multaqa Hadis Peringkat Antarabangsa 2020 (MUHADIS 2020) yang akan berlangsung pada 09 hb Julai 2020 hari Khamis bertempat di Auditorium KUIPSAS. Antara pembentang hadis yang dijemput khas ialah Maulana Johari bin Mohamad Ali (Mudir Darul Ulum alIslamiah, Jerantut, Pahang, Malaysia), Dr. Lilly Suzana Haji Shamsu (Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam) dan Prof. Dr. Nawir Yuslem (Professor di Universiti Islam Negeri Sumatera Utara, Indonesia). Multaqa yang diadakan ini juga mendokong hasrat bagi melahirkan individu muslim yang mempunyai pengetahuantentang isu-isu semasa berkait dengan hadis di negara-negara Islam masa kini. Multaqa sehari yang diadakan ini menjelaskan kepentingan hadis bahkan memperkasa dan memantapkan pengetahuan berkaitan isuisu semasa hadis.

2 Mengadakan MOU dan MOA dengan Pusat-Pusat Kajian Hadis Tempatan seperti INHAD dan lain-lain.

  1. Menerbitkan Buku-Buku Terjemahan, Makalah atau Artikel Semasa berkaitan Hadis.
  2. Mewujudkan laman web di internet (portal Hadis) di bawah perancangan dan penyeliaan Akademi Hadis untuk menghimpunkan wacana tabadur hadis, Sirah Nabi Muhamad saw, sumber hadis, biografi ulama hadis dan para penyelidik hadik yang melibatkan pengajaran, penulisan, dan pentahqiqan.
  3. Bengkel hafazan dan tadabbur hadis peringkat sekolah di negeri Pahang. (Bengkel atau kem hafazan dan tadabbur ini melibatkan kumpulan pelajar-pelajar sekolah menengah dilaksanakan secara berperingkat dari semasa ke semasa bagi membina pelapis generasi celik hadis dan cinta sunnah Nabi SAW)
  4. Bengkel hafazan dan tadabbur hadis peringkat IPT di negeri Pahang. (Bengkel atau kem hafazan dan tadabbur melibatkan kumpulan mahasiswa/wi institusi pengajian tinggi dilaksanakan secara berperingkat sebagai pelapis generasi celik hadis dan cinta sunnah Nabi SAW)
  5. Membentuk” Usrah Syabab al-Hadis”. Melatih dan membimbing pelajar yang bijak untuk lebih mahir tentang hadis dan dibimbing untuk ditampilkan ke tengah masyarakat sebagai penceramah.
  6. Membentuk Sahabat “Nasir al-Sunnah Akademi Hadis KUIPSAS” Sahabat Nasir al-Sunnah Akademi Hadis KUIPSAS berfungsi membantu Jawatankuasa Akademi Hadis KUIPSAS. Matlamat penubuhannya adalah untuk menyediakan generasi muda pelapis yang mahir hadis dan faham sunnah nabi di samping berkhidmat membantu Akademi Hadis dalam pelaksanaan aktiviti yang diatur. Sahabat Nasir al-Sunnah ini merupakan penggerak generasi muda kepada usaha-usaha memasyarkatkan hadis ke semua peringkat masyarakat.
  7. Bengkel ‘Smart Takhrij’ i. Siri Pertama : Mengupas kronologi karya-karya hadis. ii. Siri Kedua : Memperkenalkan rumuz dan kitab takhrij. iii. Siri Ketiga : Mempraktikkan 6 Kaedah Takhrij dan Signifikan mempelajari Takhrij.
  8. Bengkel ‘Cakna Ilmu Rijal’. i. Siri Pertama : Tabaqat al-Mutaqaddimin (Kurun 1 – 3 Hijrah). ii. Siri Kedua : Tabaqat al-Mutaakhirin (Kurun 3 – 10 Hijrah). iii. Siri Ketiga : Tabaqat al-Mua’sirin (Kurun 11 Hijrah sehingga kini).
  9. Forum atau Seminar ‘Kesan Pemikiran dan Sikap Orientalis Hadis Dalam Masyarakat Majmuk’.
  10. Mengatur dan mengadakan lawatan ilmiah dan mahabbah bagi mengeratkan hubungan antara Akademi Hadis dan organisasi luar.
  11. Mengadakan Kempen ‘Sunnah Street’ Mengadakan kempen, menyebarkan risalah dan menjalankan aktivitiaktiviti seperti khidmat masyarakat yang diatur pihak jawatankuasa penggerak bersama dengan Sahabat “Nasir al-Sunnah Akademi Hadis KUIPSAS” terdiri daripada pelajar-pelajar Jabatan Quran dan Sunnah KUIPSAS yang terpilih.
  12. Mengadakan aktiviti-aktiviti berteraskan Sunnah. Seperti: i. Bengkel Interpretasi Perubatan Nabawi. ii. Sambutan Maulidurrasul iii. Sambutan Mengingati hari-Hari bersejarah Nabi SAW iv. Wacana Kenali Syama’il al-Muhamaddiyah. v. Jom Bersukan (memanah, berkuda dan sebagainya). vi. Pameran dan Pertandingan vii. Speaker Corner Hadis.
  13. Mewujudkan Madrasah Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani Mewujudkan Madrasah Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani yang menjurus ke arah kepakaran beliau dalam bidang hadis dan fiqh melalui beberapa program dan acara yang bakal dirangka.
Hubungi Kami whatsapp