Kunjungan Hormat KUIPSAS Ke Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

25 November 2019 (PUTRAJAYA) – KUIPSAS mengadakan Kunjungan Hormat ke Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Putrajaya hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 7 JKSM. Delegasi KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan disertai oleh Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Ketua Jabatan Syariah dan pensyarah-pensyarah Jabatan Syariah.

Kunjungan Hormat tersebut telah disambut oleh YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM bersama Ketua Pendaftar JKSM dan pegawai-pegawai kanan JKSM.

Kunjung hormat ini diadakan bertujuan mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada JKSM bagi menambahbaik penawaran program Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian) di KUIPSAS sekaligus dapat membantu pelajar-pelajar memenuhi kehendak pasaran apabila tamat pengajian kelak.

Di samping itu juga, Kunjungan Hormat ini bertujuan untuk menyampaikan hasrat bagi memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara KUIPSAS dan JKSM pada masa hadapan supaya hubungan baik dan kerjasama dapat diperkukuhkan lagi sekaligus memberikan manafaat kepada masyarakat umum dan perkembangan Institusi Kehakiman Syariah di negara ini.