KUIPSAS Kini Sebuah Universiti, Hadiah Terbaik Sempena Sambutan Jubli Perak

29 MAC 2021 BERSAMAAN 15 SYAABAN 1442H
1. Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) telah berjaya ditubuhkan sebagai sebuah Universiti bermula pada 25 Mac 2021. Surat dan Sijil Kelulusan telah disampaikan oleh YB. Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi kepada YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap Pro Canselor KUIPSAS.
2. KUIPSAS yang ditubuhkan pada 27 Ogos 1996 dengan nama Kolej Islam Pahang (KIP) sebelum dinamakan sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) pada tahun 2000 sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh Kerajaan Negeri Pahang. Pada 20 Oktober 2015, KIPSAS telah berjaya dinaik taraf menjadi sebuah Kolej Universiti dan dinamakan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
3. Sebagai sebuah Universiti, KUIPSAS beriltizam untuk memacu pengajian tinggi peringkat tertiari berteraskan Pengajian Islam dengan lebih proaktif dan profesional khususnya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Program-program pengajian yang ditawarkan memberikan penekanan kepada aspek keseimbangan di antara kecemerlangan akademik dan ketrampilan sahsiah diri para mahasiswa.
4. Di samping itu, KUIPSAS sebagai Universiti sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang setanding dengan IPT lain bagi mewujudkan suasana kampus yang kondusif. Keprihatinan KUIPSAS kepada mahasiswa dan mahasiswi yang memerlukan turut menjadi keutamaan dengan menjadi IPT yang mesra keluarga asnaf dan B40. Dalam masa yang sama, kebajikan mahasiswa dan mahasiswi secara keseluruhannya akan sentiasa diberikan perhatian utama.
5. Fokus kepada aktiviti penyelidikan dan inovasi juga dijadikan tumpuan dengan lebih agresif sesuai dengan status sebagai sebuah Universiti. Hasil kajian dan penerbitan yang berimpak tinggi dijangka akan memberikan manafaat kepada masyarakat umum.
6. KUIPSAS merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang sentiasa mengambil berat terhadap usaha menaikkan taraf KUIPSAS kepada sebuah Universiti.
7. KUIPSAS juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd., Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Ahli-Ahli Lembaga Pengelola, barisan pensyarah, pentadbir dan kakitangan sokongan, para alumni dan semua mahasiswa dan mahasiswi atas usaha gigih dan sokongan padu sehingga kelulusan menjadi sebuah Universiti diterima pada hari ini.
8. Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KUIPSAS yang sedang berlangsung pada tahun 2021 ini menjadi lebih bermakna dengan kelulusan permohonan naik taraf KUIPSAS menjadi sebuah Universiti.
9. Alhamdulillah, KUIPSAS Kini Sebuah Universiti.
KUIPSAS MENJANA KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH
KUIPSAS BUMI BARAKAH
Disediakan oleh :
Jabatan Perhubungan Korporat KUIPSAS