Habib Ali Dilantik Felow Kanan Dakwah UnIPSAS

15 Februari 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS hari ini melantik Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid, pendakwah terkenal di negara dan rantau ini sebagai Felow Kanan Dakwah. Warkah Pelantikan telah disampaikan oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor UnIPSAS sempena Program Diskusi Kitab yang diadakan di Auditorium Tuanku Canselor.
Majlis turut dihadiri oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri Pahang serta YB. Dato’ Sri Haji Ishak Bin Haji Muhamad, Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang.
Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid dilahirkan pada tahun 1974 dan mempunyai latar belakang pendidikan di Dar al Mustafa, Tarim, Yaman dan Ijazah Sarjana Muda (Usuluddin) Universiti Al-Azhar Mesir. Beliau kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana (Al-Quran & As-Sunnah) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan kini sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (Al-Quran & As-Sunnah) di universiti yang sama.
Beliau menjawat jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah, Ketua Eksekutif Operasi Yayasan Tawfiq dan Penasihat Utama Pertubuhan Kebajikan Darul Murtadza Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Ahli Panel Pakar Tasawwuf dan Ahli Panel Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sebagai pendakwah terkenal, beliau sering muncul di kaca televisyen dan radio serta turut menghasilkan penulisan buku-buku dakwah.
Link Majlis Diskusi Hadis & Perlantikan Felo : https://www.facebook.com/UNIPSASofficial/videos/1128437064659018
– –
Ikuti UnIPSAS di Telegram : t.me/unipsas dan Twitter : twitter.com/unipsasofficial