Ustaz Azhar Idrus Hurai Kepentingan Niat

13 September 2019 (KUANTAN) – Buat julung kalinya, KUIPSAS menerima kehadiran ulamak tersohor Ustaz Azhar Idrus yang menyampaikan Kuliah Maghrib Perdana di Masjid KUIPSAS pada malam ini. Kuliah bermula selepas solat fardhu Maghrib dan dihadiri oleh Muslimin dan Muslimat yang sentiasa berminat dengan penyampaian ilmu dan kuliah agama oleh Ustaz Azhar Idrus.

Ustaz Azhar memulakan kuliah dengan menghuraikan kepentingan niat melalui hadith berkaitan niat riwayat Bukhari. Menurutya, hadith ini menghuraikan kepentingan niat dan amal serta hubung kait kehidupan di dunia dengan akhirat. Ulamak telah mengupas secara panjang lebar mengenai niat dan tempatnya adalah di dalam hati. Masalah yang dihadapi apabila beramal kerana hati sentiasa berbolak balik.

Beliau seterusnya menghuraikan hubung kait kehidupan di dunia sebagai medan bercucuk tanam untuk menikmati kehidupan di akhirat. Tujuan hidup di dunia adalah untuk kembali ke syurga sebagai tempat asal usul moyang pertama manusia iaitu Nabi Adam. Maka, hidup di dunia tidak dapat lari daripada amalan dan niat yang betul.

Menurut Ustaz Azhar lagi, niat sentiasa lebih indah daripada amal yang dilakukan. Maka, amalan yang baik tetapi diawali dengan niat yang jahat akan menghasilkan natijah yang buruk. Manakala, amalan jahat tetapi diniatkan dengan perkara kebaikan juga akan menghasilkan amalan yang tidak baik. Maka, senantiasalah kita menunaikan amalan yang baik dengan niat yang baik supaya hasil perbuatan tersebut akan sentiasa dalam keadaan kebaikan.

Kuliah Maghrib Perdana yang dianjurkan oleh KUIPSAS dan Pusat Islam Masjid KUIPSAS ini turut dimeriahkan dengan penganjuran program Pasar Malam Muamalat Perdana Kelab MyAgrosis KUIPSAS yang disertai oleh 55 orang peniaga. Pasar Malam Muamalat Perdana diadakan di perkarangan Masjid KUIPSAS sepanjang program kuliah berjalan di dalam masjid.