Siswa Kebanggaan KUIPSAS Juarai Tilawah

14 Oktober 2019 (KUANTAN) – Muncul seorang lagi bakat KUIPSAS yang menyenaraikan dirinya dalam Barisan Kebanggaan KUIPSAS selepas menjuarai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuantan yang diadakan pada hari ini. Beliau ialah Muhammad Fahmi Akmal Bin Badrulisham, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian) yang sedang mengikuti pengajian dalam semester ke-2.

Pertandingan Tilawah yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan ini diadakan di Dewan Mahkota, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan. Muhammad Fahmi muncul juara Kategori Qari selepas menewaskan 11 orang qari yang turut menyertai pertandingan ini.

Sebagai juara Kategori Qari, Muhammad Fahmi membawa pulang hadiah wang tunai RM700, Plak Juara dan senaskah Al-Quran Mushaf Al-Farid. Majlis dirasmikan penutupnya oleh Haji Zakaria Bin Mohamad (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Berikutan kejuaraan yang digondol Muhammad Fahmi ini, beliau akan mewakili daerah Kuantan ke Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Pahang yang akan diadakan tidak lama lagi.