Siswa Dan Siswi KUIPSAS Muncul Johan Daie Junior Hijrah Challenge

22 Oktober 2020 (MARAN) – Sdr. Muhammad Muqri Zafran bin Mat Khusniza, siswa Semester 3 Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan dan Sdri. Sueidah Usaimah binti Mohd Sofian, siswi Semester 3 Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Bahasa Arab dan Tamadun Islam hari ini mencuri tumpuan selepas diumumkan sebagai Johan Pertandingan Daie Junior Hijrah Challenge anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pertandingan ini diadakan bermula 1 Muharam sehingga 25 Muharram 1442H dan memerlukan peserta menyampaikan tazkirah atau persembahan bertemakan Hijrah dalam bentuk video berdurasi 4 – 5 minit. Sebanyak 40 peserta atau pendakwah muda telah menghantar penyertaan yang terdiri daripada pelajar-pelajar KUIPSAS, UIAM Kuantan, Kulliah Al-Lughah Waddin Pekan, Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri dan Maahad Tahfiz di seluruh negeri Pahang.

Dalam Majlis Penyampaian Hadiah Daie Junior Hijrah Challenge 1442H / 2020M yang diadakan di Auditorium Al-Ghazali, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Maran hari ini, Sdr. Muhammad Muqri Zafran diumumkan sebagai Johan Kategori Lelaki melalui video yang bertajuk “Relevan Lagikah Hijrah : Hijrah Kontemporari” manakala Sdri. Sueidah Usaimah pula dinobatkan sebagai Johan Kategori Perempuan menerusi video bertajuk “Berani Untuk Berhijrah”.

Lebih menarik, siswa dan siswi KUIPSAS juga memenangi tempat ketiga pertandingan ini apabila Sdr. Muhammad Irfan bin Badrulzaman (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran Sunnah, Sem 3) dan Sdr. Muhd Aiman bin Ahmad Hamidon (Ijazah Sarjana Muda Multimedia Pengiklanan Digital, Sem 3) diumumkan sebagai pemenang melalui video bertajuk “Mengambil Ibrah Sifat Kaum Muhajirin dan Ansar”. Bagi Kategori Perempuan pula, Sdri. Nur Farisya binti Ramli (Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan Sem 1) dipilih pemenang tempat ketiga menerusi video bertajuk “Hijrah Perlu Diagungkan Bukan Diperlekehkan”.

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Al-Fadhil Haji Mohd Fadhli bin Mat Saman. Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KUIPSAS, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Al-Fadhil Qadhi Daerah Maran, Ustaz Nik Ibrahim bin Nik Abdullah serta Ustazah Dayang Sakini binti Mohd Kadri selaku Pensyarah Pengiring.

Sdr. Muhammad Muqri Zafran turut diberikan ruang menyampaikan persembahan tazkirah bertemakan Maulidur Rasul dalam majlis tersebut.