Sebagai Universiti KUIPSAS Perlu Terus Hasilkan Ilmuwan Islam

26 OGOS 2021 (KUANTAN) – Sebagai sebuah Universiti Penuh, KUIPSAS perlu terus bergerak untuk memenuhi hasrat bersama Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan supaya KUIPSAS terus melahirkan ilmuwan Islam.
Demikian menurut Setiausaha Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Tahlil Dan Doa Selamat Sempena Majlis Sambutan Jubli Perak KUIPSAS.
Menurutnya lagi, KUIPSAS perlu melakukan penjajaran semula hala tuju supaya terus kekal dan mampu bersaing dalam perubahan-perubahan yang sedang berlaku di sekeliling.
Untuk itu, KUIPSAS perlu melihat kembali cara bekerja dan silibus kursus pengajian supaya dapat memenuhi hasrat menjadikan KUPSAS sebagai Pusat Rujukan Ilmu Turath dan Ilmu Ibadah.
Justeru, cadangan untuk mewujudkan Fakulti Ibadah di KUIPSAS sangat tepat untuk mencapai hasrat ini. Dalam masa yang sama, para pendidik perlu meningkatkan kekuatan ilmu dengan mencerminkannya dalam amalan kehidupan dan bukan setakat di dalam kitab sahaja.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. menghadiri majlis yang merupakan salah satu acara yang dianjurkan sempena Sambutan Jubli Perak KUIPSAS. Sambutan yang diadakan secara norma baharu itu diadakan bagi meraikan ulang tahun penubuhan KUIPSAS ke-25 tahun.