Pemangku Raja Tunai Solat Jumaat Di Masjid KUIPSAS

19 Jun 2020 (KUANTAN) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan Solat Fardhu Jumaat Bersyarat bersama 308 jemaah di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) hari ini.

Jumlah kehadiran jemaah adalah bilangan teramai sejak Masjid KUIPSAS diberikan kebenaran untuk melaksanakan Solat Fardhu Jumaat Bersyarat yang masuk kali keenam pada minggu ini. Walaupun kehadiran jemaah semakin bertambah, mereka semua memberikan kerjasama terbaik kepada urusetia dengan mematuhi semua SOP dan arahan yang ditetapkan.

Hadir bersama baginda ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Tengku Panglima Raja, YAM Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan; Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Osman; Timbalan Ketua Polis Pahang, YDH DCP Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri dan Rektor KUIPSAS, Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.

Khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Anak Adalah Amanah Allah’ disampaikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman. Solat diimaman oleh Imam 1, Ustaz Mohd Khairi bin Mohd Desa manakala Bilal Bertugas ialah Ustaz Sahrulnizam bin Sapee.

Turut diadakan ialah bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin dan serta diangkat musibah wabak pandemik COVID-19 dari negara dan Negeri Pahang khususnya. Untuk rekod, KDYMM Tuanku ialah Canselor KUIPSAS.