Pemangku Raja Pahang Lawat Pelajar KUIPSAS Terlibat Kemalangan

18 Januari 2020 (KUANTAN) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat bercemar duli ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi melawat dua orang pelajar KUIPSAS yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, pensyarah-pensyarah KUIPSAS dan Timbalan Pengarah Perubatan 4 HTAA, Dr. Rafidah binti Mohd Salleh.

KDYMM Tuanku yang juga merupakan Canselor KUIPSAS menzahirkan keprihatinan Baginda terhadap keadaan terkini dua orang pelajar KUIPSAS tersebut iaitu Mas Ridhuan bin Ummar Hassan dan Roslan Bin Rosmad yang menerima rawatan lanjut di HTAA selepas kaki mereka patah disebabkan kemalangan tersebut. Baginda bertitah kepada kedua-dua pelajar tersebut supaya membanyakkan sabar dan menguatkan semangat bagi menghadapi ujian kesihatan dan musibah ini.

Untuk rekod, sekumpulan pelajar Jabatan Dakwah KUIPSAS terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Raub – Bentong berhampiran Simpang Felda Lurah Bilut selepas selesai menyertai Program Ziarah Dakwah dan Pemutihan di Kampung Orang Asli Sg Ruai Raub pada hari Khamis lalu.