Pemangku Raja Pahang Berkenan Terima Menghadap Rektor KUIPSAS

9 Disember 2020 (INDERA MAHKOTA) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan terima menghadap Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hari ini di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan.
Dalam majlis tersebut, YBrs. Rektor telah mempersembahkan taklimat mengenai perkembangan terkini KUIPSAS kepada KDYMM Tuanku. Antara lain, Rektor KUIPSAS mempersembahkan taklimat mengenai persediaan KUIPSAS untuk memohon dinaikkan taraf menjadi universiti penuh, cadangan menganjurkan Istiadat Konvokesyen ke-19 dan perancangan KUIPSAS untuk mendapatkan pelajar-pelajar baharu dalam kalangan keluarga B40.
Untuk rekod, KDYMM Tuanku merupakan Canselor KUIPSAS dan telah dimasyhurkan dalam Istiadat Konvokesyen ke-18 yang diadakan pada 3 September 2019 lalu.
Delegasi KUIPSAS turut disertai oleh Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Dato’ Hj. Yaakub, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar dan Pendaftar, Mejar Mohd Zamri bin Wahab.