Pelajar Baharu Mendaftar Masuk Asrama

5 September 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menerima kehadiran pelajar-pelajar baharu untuk mendaftar masuk asrama bagi meneruskan pengajian dalam Semester 1 Sesi 2020/2021. Semua pelajar baharu ini sudah mendaftar sebagai mahasiswa KUIPSAS pada Sesi Kemasukan Jun 2020 baru-baru ini dan mengikuti pengajian secara dalam talian di rumah masing-masing.

Sesi Pendaftaran Masuk Asrama ini diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan diadakan di Dewan Utama KUIPSAS bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

Pendaftaran masuk asrama ini diadakan bagi memenuhi ketetapan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi supaya pelajar-pelajar baharu mengikuti pengajian di dalam kampus. Mahasiswa baharu KUIPSAS yang sudah mendaftar masuk ke asrama dan berada di dalam kampus akan dapat memberikan tumpuan yang lebih baik dalam pembelajaran. Mereka berpeluang untuk menghadiri sesi konsultasi dengan pensyarah, menggunakan kemudahan perpustakaan serta mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama rakan-rakan sekuliah.