Parlimen Mahasiswa KUIPSAS Bersidang Kali Kedua

15 Januari 2020 (KUANTAN) – Parlimen Mahasiswa KUIPSAS bersidang kali kedua dan dihadiri oleh perwakilan daripada semua barisan Majlis Perwakilan Pelajar KUIPSAS dan semua Presiden serta Timbalan Presiden persatuan-persatuan akademik di KUIPSAS. Parlimen ini telah bersidang selama lebih kurang empat jam bermula dari jam 9.00 malam bertempat di Bilik Mesyuarat Utama KUIPSAS.

Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini dibentuk bertujuan bagi membincangkan isu dan cadangan yang dikemukakan oleh mahasiswa KUIPSAS dalam bentuk medan diskusi serta perdebatan usul bagi memastikan kebajikan mahasiswa KUIPSAS akan sentiasa ditangani dengan baik.

Agenda persidangan dimulai dengan bacaan doa, lafaz bai’ah sebagai Ahli Parlimen Mahasiswa KUIPSAS serta pembentangan program yang akan dijalankan oleh setiap persatuan akademik pada semester ini.

Kemuncak persidangan ini adalah semasa sesi perdebatan lima usul yang telah dipersetujui oleh semua wakil persatuan untuk dibincangkan dalam sidang parlimen iaitu;

1. Penyusunan semula organisasi Persatuan Akademik mengikut fakulti pengajian di bawah satu nama dan logo.

2. Penetapan semula nama ketua Majlis Perwakilan Pelajar, ketua persatuan akademik, ketua kelab dan sekretariat dalam konteks penglibatan mahasiswa.

3. Naik taraf sistem merit KUIPSAS kepada sistem cap jari memudahkan urusan mengklasifikasi tahap keaktifan mahasiswa dalam menentukan kelayakan menginap di asrama.

4. Pemberian kuasa dalam taklifan mengkompaun mahasiswa yang bermasalah dalam kalangan mahasiswa KUIPSAS.

5. Cadangan penetapan tahap kelayakan mahasiswa membawa kenderaan ke KUIPSAS sebagai timbang tara ke arah rancangan KUIPSAS Sifar Kenderaan Pelajar.

Hasil perdebatan yang telah diterima serta ditolak oleh dua pertiga (2/3) dewan telah pun dikenal pasti dan akan dimaklumkan penerangannya secara terperinci dalam memo yang akan ditularkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar KUIPSAS dalam masa yang terdekat.

Sementara itu, hasil perbincangan bersama seluruh Ahli Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi iaitu pihak tertinggi dalam pentadbiran kolej untuk dipertimbangkan dan mendapat kelulusannya.

Diingatkan semula, penubuhan Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini adalah badan berkecuali yang ahlinya hanyalah dalam kalangan pimpinan tertinggi mahasiswa sahaja iaitu MPPKUIPSAS dan Presiden serta Timbalan Presiden setiap persatuan Akademik.

Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini telah dipengerusikan sendiri oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar KUIPSAS, saudara Wan Syafiq Asyraf bin Halimi @ Wan Halimi merangkap Yang Di Pertua Dewan Parlimen Mahasiswa KUIPSAS dengan kerjasama Timbalan Yang Di Pertua, Setiausaha Pertama, Setiausaha Kedua, Majlis Eksekutif dan seluruh Ahli Parlimen Mahasiswa.

Semoga dengan usaha murni ini, dapatlah memperlihatkan bahawa suara mahasiswa KUIPSAS perlu diambil kira juga dalam setiap inci penetapan atau penyelarasan perkara baharu yang melibatkan kesan sampingannya secara langsung atau secara tidak langsung kepada mahasiswa KUIPSAS.

“Salam Mahasiswa Memimpin”

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR KUIPSAS 2019/2020