Panel MQA Selesai Semak Kualiti Program

2 Ogos 2019 (KUANTAN) – Selama 2 hari dan berakhir hari ini, KUIPSAS menerima Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh oleh pihak Malaysian Qualification Agency (MQA) yang membuat penilaian dan semakan kepada dua program pengajian iaitu Asasi Sastera dan Diploma Pengajian Quran Dan Sunnah. Lawatan penilaian ini adalah proses yang perlu dilalui oleh KUIPSAS untuk mendapatkan Akreditasi Penuh kepada kedua-dua program pengajian yang ditawarkan.

Ahli Panel Penilai bagi program Asasi Sastera ialah YBrs. Prof. Madya Ezani Yaakub (UiTM) dan En. Yusni Muhammad Yushak (Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) manakala bagi program Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, Ahli Panel Penilai ialah En. Ikmal Zaidi Hashim (KUIS) dan En. Abdullah Sanusi Othman (UKM). Lawatan Penilaian selama 2 hari ini juga diselaraskan oleh dua orang Pegawai MQA dari Bahagian Akreditasi – Sastera dan Kemanusiaan iaitu Pn. Farah Nazreen Zainal Abidin dan Pn. Noor Farahstin Hassan.

Ahli-ahli Panel Penilai telah menjalankan semakan dan penilaian yang terperinci sepanjang dua hari lawatan ini. Di antaranya ialah temuduga bersama pensyarah, pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar, lawatan ke Perpustakaan, pemantauan pengajaran, semakan dokumen dan fail kursus serta pemeriksaan kemudahan-kemudahan yang disediakan di KUIPSAS.

Dalam Mesyuarat Penutup Lawatan Penilaian ini, Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua APP dan Pegawai MQA yang telah melaksanakan tugasan dengan jayanya. KUIPSAS menurut beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk mengambil tindakan ke atas semua laporan yang dibentangkan oleh APP supaya proses mendapatkan Akreditasi Penuh kepada kedua-dua program akan berjalan lancar.