MUIP Prihatin Pelajar KUIPSAS Terlibat Kemalangan

22 Januari 2020 (KUANTAN) – Petang tadi berlangsungnya satu majlis ringkas penyerahan sumbangan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada pelajar-pelajar Jabatan Dakwah yang juga mangsa-mangsa kemalangan jalan raya pada 16 Januari lepas. Sumbangan disampaikan oleh wakil MUIP iaitu Pegawai Zakat Kanan, Ustaz Ali Mat Dasir disaksikan oleh Rektor KUIPSAS.

Dalam kemalangan pada 16 Januari tersebut, 2 pelajar Jabatan Dakwah KUIPSAS patah kaki dan kini dirawat di HTAA Kuantan manakala yang lain-lain mengalami cedera ringan termasuk pemandu van KUIPSAS.

Kemalangan itu berlaku ketika para pelajar Jabatan Dakwah seramai 10 orang bersama 2 orang pensyarah pengiring dalam perjalanan pulang ke Kuantan daripada Program Ziarah Dakwah dan Pemutihan Saudara Baru Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Ruai, Raub, Pahang bersama MUIP. Kemalangan berpunca daripada sebuah lori dengan muatan buah sawit yang merempuh deretan kenderaan yang sedang berhenti kerana kerja-kerja pembaikan jalan.

MUIP turut menyampaikan sumbangan kepada pemandu KUIPSAS yang terlibat iaitu En Aswady yang mengalami kecederaan di tangan kiri serta turut menyumbangkan 2 buah kerusi roda kepada mangsa kemalangan.