Memorandum Kukuhkan Kerjasama Institusi Agama Dalam Bidang Akademik

10 SEPTEMBER 2021 (KUANTAN) – Memorandum Persefahaman dan Perjanjian yang ditandatangani hari ini akan memartabatkan Institusi Agama dalam bidang akademik dan pendidikan. Demikian menurut Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin ketika menyampaikan Ucapan Aluan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara KUIPSAS dengan Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang diadakan pada hari ini di Dewan Senat KUIPSAS.
Tambahnya lagi, memorandum hari ini akan mengukuhkan lagi ikatan dan kerjasama yang sedia ada terbina di antara KUIPSAS, Jabatan Mufti Negeri Pahang dan JAIP sekaligus akan memberikan manafaat kepada masyarakat.
Memorandum ditandatangani oleh Rektor KUIPSAS, Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman, Mufti Negeri Pahang dan YH. Dato’ Dr. Hj. Zulkifle bin Hj. Ali Al-Hafiz, Pengarah JAIP.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YH. Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan).
MoU antara KUIPSAS dan Jabatan Mufti Negeri Pahang bertujuan untuk membina kerjasama dalam kajian dan penyelidikan berkaitan hukum-hakam syarak serta menyemak silibus kursus-kursus minor dalam bidang Falak Syar’ie yang akan ditawarkan oleh KUIPSAS pada masa hadapan.
Manakala MoA dengan JAIP pula memfokuskan kepada kerjasama penawaran program Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Syariah Dan Undang-Undang KUIPSAS bertempat di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.