Lawatan Prihatin Ke SMA Al-Falah Batu Talam

14 Julai 2020 (RAUB) – KUIPSAS mengadakan Lawatan Prihatin pada hari ini ke Sekolah Menengah Agama Al-Falah Batu Talam, Raub bagi meninjau keadaan Asrama Putera yang terjejas kerana musibah kebakaran yang berlaku baru-baru ini. Delegasi KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan disertai oleh Pegawai-Pegawai Kanan KUIPSAS.

Lawatan telah disambut oleh Pengetua SMA Al-Falah, En. Hasanuddin bin Md Isa dan guru-guru sekolah berkenaan. Dalam lawatan tersebut, delegasi KUIPSAS telah diberikan penerangan oleh Pengetua sebelum melihat kesan kerosakan akibat kebakaran yang berlaku kepada blok asrama tersebut. Delegasi KUIPSAS juga dibawa melawat ke lokasi penempatan sementara pelajar lelaki di Dewan Makan dan Dewan Sekolah.

Sebagai tanda keprihatinan KUIPSAS terhadap musibah yang melanda, Rektor KUIPSAS telah menyerahkan sumbangan berupa wang tunai termasuk kutipan Solat Jumaat di Masjid KUIPSAS yang merupakan hasil sumbangan orang ramai.

Lawatan turut disertai oleh sebahagian ahli KUIPSAS Riders Club (KRC) untuk menghulurkan sumbangan tenaga melakukan kerja amal membantu pihak sekolah menyusun atur asrama sementara di Dewan Sekolah bagi menerima kemasukan semula pelajar sekolah ini pada minggu hadapan.

#kebakaranasrama #smaalfalahbatutalam #raub #afiss #sumbangan #kuipsas #kuipsasbumibarakah