KUIPSAS Menyertai Perarakan MAULIDUR RASUL 1440H

20 Nov 2018 (KUANTAN) – Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1440H/2018 anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) telah diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan pada hari ini yang bertemakan “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”. Program ini diadakan bagi memperingati hari keputeraan junjungan besar Rasulullah SAW dan menghayati perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam. Program ini juga diadakan bagi menggalakkan masyarakat masa kini supaya menghayati perjuangan Baginda dengan meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, bersatu padu memupuk ukhuwah Islamiyyah di samping mencipta kegemilangan dan ketamadunan masyarakat Islam mengikut arus perkembangan semasa secara seimbang.

KUIPSAS turut tidak terlepas dalam menyertai program ini, yang sudah menjadi program wajib untuk disertai setiap tahun. Seramai 33 orang pelajar KUIPSAS telah mengambil bahagian dalam perarakan kali ini. Perarakan bermula jam 7.30 pagi di perkarangan masjid disertai kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Majlis selesai pada jam 12.00 tengah hari. Kontinjen KUIPSAS telah muncul pemenang tempat ketiga dalam perarakan pada tahun ini.