KUIPSAS Laksana Solat Jumaat

15 Mei 2020 (KUANTAN) – Masjid KUIPSAS telah mendapat perkenan daripada KDYMM Pemangku Raja Pahang sebagai salah satu daripada 3 masjid untuk melaksanakan Solat Fardhu Jumaat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa kini.
Solat Jumaat ini dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan di samping kawalan keselamatan yang ketat. Seramai 200 orang jemaah telah hadir menunaikan solat yang terdiri daripada kakitangan KUIPSAS serta penduduk setempat.
Walaupun terpaksa menghadapi SOP yang ketat, semua jemaah yang hadir telah memberikan kerjasama yang terbaik. Mereka terlebih dahulu telah mendaftarkan diri, memakai pelitup muka, membawa sejadah, sihat tubuh badan, hadir dalam keadaan berwuduk, mengambil tempat dalam saf yang telah dijarakkan serta meninggalkan masjid dalam keadaan teratur dan tidak melakukan kontak fizikal serta perkumpulan atau perhimpunan selepas menunaikan solat.
Pelaksanaan Solat Jumaat ini dipantau rapi oleh pegawai daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Khutbah telah disampaikan oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin manakala imam yang bertugas ialah Imam Khairi bin Mat Desa. Ustaz Jaafri bin Yusuf pula bertindak selaku Bilal.
Pelaksanaan Solat Jumaat ini telah diselaraskan oleh Pusat Islam Masjid KUIPSAS yang diketuai oleh Ustaz Mohd Shupian bin Majid serta dibantu seramai 36 orang urusetia yang bertugas secara sukarela bagi memastikan kelancaran dan kepatuhan kepada SOP sepenuhnya.

Kerajaan Negeri Pahang

Jabatan Agama Islam Pahang
Kementerian Pengajian Tinggi
Majlis Keselamatan Negara
Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang