KUIPSAS Jalin Ukhuwwah Dan Berkongsi Ilmu Bersama Warga Raub

28 Februari 2020 (RAUB) – Program Jelajah Rektor Dan Delegasi KUIPSAS ke daerah Raub berjaya menjalinkan ukhuwwah dan berkongsi ilmu pengetahuan bersama warga daerah Raub. Sesi Kunjungan Hormat, Tazkirah dan Diskusi yang diadakan telah mendekatkan lagi KUIPSAS di hati warga daerah Raub.

Hari kedua program jelajah dimulakan dengan Sesi Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Rektor KUIPSAS di Masjid Kampung Sempam. Tazkirah Subuh yang dihadiri kira-kira 100 orang jemaah itu menyentuh mengenai kepentingan waktu Subuh atau waktu pagi untuk memohon tiga perkara kebaikan iaitu subuh ilmu yang bermanafaat, rezeki yang baik, dan amalan diterima oleh Allah SWT.

Sesi seterusnya ialah Majlis Perkongsian Ilmu bersama warga kerja Majlis Daerah Raub (MDR). Rektor KUIPSAS menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Membuka Pintu Rezeki’ yang dihadiri seramai 100 orang warga kerja MDR. Turut hadir ialah Setiausaha MDR, Tuan Mohd Pauzi Bin Hj. Abu Hussaini.

Serentak berlangsung ialah Sesi Perkongsian Ilmu di Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Tazkirah bertajuk ‘Peristiwa Akhir Zaman’ disampaikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni kepada 100 orang warga PDRM di IPD Raub.

Jelajah diteruskan lagi dengan Sesi Kunjungan Hormat ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Raub. Kunjungan berfokus kepada perbincangan mengenai kerjasama yang boleh dijalinkan secara bersama supaya manafaat kepada umat Islam di daerah Raub dapat diperluaskan. Kunjungan hormat disambut oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah Raub, Tuan Mohd Zainuddin bin Zakaria dan Timbalan Qadhi, Tuan Amirul Farhan bin Wahi.

Sesi Kunjungan Hormat diteruskan ke Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Ad-Dinniyyah, Dong. Kunjungan disambut oleh Ustaz Hafiz dan Ustaz Abdul Razak. Kunjungan berkisar mengenai perkongsian maklumat terkini KUIPSAS serta kerjasama dalam bidang pendidikan yang boleh dijalinkan di antara kedua-dua pihak.