KUIPSAS Cemerlang Dalam Suptim 2019

15 November 2019 (MELAKA) – KUIPSAS tampil cemerlang dan memberikan saingan sengit dalam Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (SUPTIM) kali ke-19 yang telah berakhir selepas berlangsung selama seminggu di Melaka. Pencapaian cemerlang kontinjen KUIPSAS terserlah selepas berada di tangga ke-6 pencapaian keseluruhan daripada 13 IPT yang mengambil bahagian pada edisi SUPTIM kali ke-19 ini.

Pencapaian cemerlang KUIPSAS bermula dengan pasukan Bola Tampar yang merangkul Pingat Gangsa selepas terpaksa akur dengan kekuatan lawan pada peringkat separuh akhir. Pingat Gangsa kedua diraih oleh pasukan Bola Jaring yang telah menunjukkan ketangkasan mereka menjaringkan bola sebelum tunduk pada peringkat separuh akhir.

Kontinjen KUIPSAS bertukar ceria selepas berjaya menggondol Pingat Emas dalam acara E-Sport FIFA yang baru diperkenalkan dan dipertandingkan. Keceriaan dan kejuaraan di atas padang bola maya diharapkan dapat dituruti dalam acara Bola Sepak selepas pasukan KUIPSAS melangkah gagah ke perlawanan akhir.

Selepas bertarung dalam masa penuh, KUIPSAS terikat dengan keputusan seri 1-1. Namun, ibu segala pingat dalam kejohanan kali ini terlepas daripada genggaman selepas tunduk 1-3 selepas tamat tambahan masa. Secara keseluruhan, KUIPSAS membawa pulang 1 Pingat Emas, 1 Pingat Perak dan 2 Pingat Gangsa.

Rektor KUIPSAS, Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin turut hadir meraikan para atlet KUIPSAS pada Majlis Perasmian Penutupan sekaligus menyaksikan acara penyampaian hadiah kepada atlet-atlet yang berjaya. Turut hadir ialah Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, pegawai dan jurulatih kontinjen KUIPSAS.

Tahniah diucapkan dan berjumpa lagi dalam SUPTIM ke-20.

Suptim 2019