Kefahaman Agama Faktor Utama Pematuhan PKP

13 Mei 2020 (KUANTAN) – Kefahaman kepada agama menjadi faktor terpenting yang menyumbang kepada pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan penganut agama Islam di Malaysia. Demikian hasil kajian yang dibentangkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Psikologi dan Kaunseling dan Fakulti Pengajian Pengurusan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
Kajian yang bertajuk “Faktor-Faktor Psiko-Sosial Yang Mempengaruhi Penduduk Islam Malaysia Untuk Mematuhi Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” ini merupakan kajian kedua KUIPSAS yang telah dihasilkan sepanjang PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020 yang lalu.

Objektif kajian ini diadakan adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia. 4 faktor psiko-sosial yang terlibat dalam kajian ini ialah kefahaman agama, sikap, pengaruh individu sekeliling dan kawalan tingkahlaku. Seramai 342 responden telah bersetuju menyertai kajian ini. Data kajian didapati melalui persampelan bukan kebarangkalian dengan menggunakan instrumen yang diadaptasi daripada kajian Farhana (2014). Kajian ini merupakan antara kajian terawal bagi mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia dan dijangka dapat memberikan gambaran awal tentang hubungan sebab-akibat di antara faktor yang dikaji dengan kepatuhan terhadap PKP.

Selain kefahaman kepada ajaran agama menjadi faktor terpenting yang menyumbang kepada pematuhan PKP, kajian ini juga telah merumuskan bahawa pengaruh individu sekeliling menjadi faktor kedua terpenting yang menjadikan penduduk Malaysia beragama Islam patuh kepada arahan PKP. Seterusnya, sikap menjadi faktor ketiga terpenting serta kajian ini juga mencatatkan bahawa tahap kefahaman agama dalam kalangan rakyat Malaysia beragama Islam mencapai 98.4%
Kajian ini dilaksanakan oleh pasukan penyelidik KUIPSAS yang diketuai oleh Dr. Sharafuddin Aisa bin Hj Osman, Dr. Fahmi Zaidi bin Abdul Razak, Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Dr. Muhammad Hafiz Yaakub, En. Mohd Yusrizal bin Mohd Yunus dan Norillah Abdullah Hassim.