Graduan KUIPSA Lanjut Pengajian Di Al-Azhar Mesir

1 Julai 2019 (SEPANG) – Seramai 4 orang graduan Diploma Pengajian Islam KUIPSAS telah berlepas ke negara Mesir untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Keberangkatan mereka telah diiringi bersama ahli keluarga dan sahabat handai yang turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini.

Peluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir ini disediakan oleh KUIPSAS kepada pelajar-pelajar Diploma Pengajian Islam hasil daripada pengiktirafan yang diterima dan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dijalinkan bersama Universiti Al-Azhar, Mesir. Ini membolehkan pelajar KUIPSAS menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar terus ke tahun 2 atau tahun 3 pengajian di sana.

Setibanya mereka di Mesir, mereka akan mengikuti Kursus Persediaan Bahasa Arab yang diadakan di Markaz al-Nil selama 3 bulan. Selepas tamat kursus persediaan ini, mereka akan mula meneruskan pengajian sebagai mahasiswa Universiti Al-Azhar pada bulan Oktober 2019 nanti.

Daripada 4 orang pelajar ini, 1 orang pelajar lelaki akan melanjutkan pengajian dalam Kuliah Dakwah pada Tahun 3, 2 orang pelajar perempuan akan menjadi mahasiswi Kuliah Syariah terus ke Tahun 3 dan 1 orang mahasiswi akan menjadi pelajar di Kuliah Bahasa Arab pada Tahun 2 pengajian.

Pemergian keempat-empat pelajar ini diiringi bersama Ustaz Mohd Shupian bin Majid, pensyarah Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS yang juga merupakan graduan daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.