Duta UAE Gembira Perancangan KUIPSAS Luaskan Jaringan Antarabangsa

24 SEPTEMBER 2021 (KUANTAN) – Tuan Yang Terutama Khalid Ghanim Al-Ghaith menyatakan rasa gembira dan bangga mengenai perancangan KUIPSAS untuk meluaskan lagi jaringan strategik di peringkat antarabangsa khususnya berkaitan dalam bidang akademik.
Justeru, selaku Duta UAE ke Malaysia, beliau akan mempertimbangkan permohonan dan bersedia untuk membantu KUIPSAS dalam memperkembangkan aspek pendidikan melalui program-program yang akan mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua pihak.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Lawatan Rasmi ke KUIPSAS pada hari ini.
Ketibaan beliau disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Bin Haji Ali Al-Hafiz.
Terdahulu, Rektor KUIPSAS dalam ucapan aluan menyatakan bahawa KUIPSAS sedang mengorak langkah untuk meluaskan jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar lawatan ini dapat mengukuhkan kerjasama pendidikan di antara KUIPSAS dan UAE dengan mempertimbangkan permohonan untuk menaja pensyarah dari negara tersebut bagi membantu perkembangan dalam akademik khususnya bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Arab di KUIPSAS.
Link LIVE @ FB KUIPSAS : https://www.facebook.com/KUIPSASofficial/videos/401114854919622