Covid-19 : Pelajar KUIPSAS Turut Hasilkan Pelindung Muka

BERITA»Wilayah | Sabtu, 4 April 2020 | 12:28pm
Mohd Rafi Mamat | bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Seramai 20 penuntut tajaan Yayasan Sabah di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini, memanfaatkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Seorang daripadanya, Syahira Asnerra Asan, 21, berkata fasa pertama penyediaan pelindung muka lebih 1,000 unit disiapkan minggu lalu dan kali ini 1,000 lagi akan sediakan dalam masa tiga hari.

“Aktiviti menghasilkan alat berkenaan bermula jam 9 pagi hingga 11.30 malam, Ini sahaja pengorbanan kami berikan kepada negara ketika ini, menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan,” katanya yang belajar dalam Jurusan Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak, di sini, hari ini.

Rakannya, Nor Aaifah Aziri, 21 berkata, turut berbangga menjadi sukarelawan menghasilkan pelindung muka untuk barisan petugas hadapan sekali gus membantu mengurangkan kes penularan COVID-19.

“Saya setiap hari berdoa semoga pihak bertugas barisan hadapan sentiasa dilindungi dan mempunyai semangat juang yang tinggi,” katanya yang belajar dalam Jurusan Dakwah dan Pengurusan.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIPSAS, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima barangan untuk membuat pelindung muka daripada kerajaan Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan Pahang.

“Pihaknya diberi peluang menyediakan lebih 2,000 pelindung muka membabitkan dua peringkat, kami sedia menerima tanggungjawab berkenaan selepas ini.

“Seramai 20 penuntut Sabah yang tidak dapat pulang ke kampung dibantu beberapa kakitangan KUIPSAS bergotong-royong menghasilkan produk itu,” katanya.

Sumber berita : https://www.bharian.com.my/…/covid-19-pelajar-kuipsas-turut…

Kapsyen gambar : Syahira Asnerra (kanan) dan Nor Aaifah menunjukkan pelindung muka yang dihasilkan mereka untuk petugas barisan hadapan. – Foto Mohd Rafi Mamat

Kerajaan Negeri Pahang Biasiswa Yayasan Sabah

 

Syahira Asnerra (kanan) dan Nor Aaifah menunjukkan pelindung muka yang dihasilkan mereka untuk petugas

barisan hadapan. – Foto Mohd Rafi Mamat.