Bicara Perundangan Bersama Ketua Hakim Syarie

9 Oktober 2019 (KUANTAN) – Seorang Hakim Syarie mestilah menjaga perhubungan sosialnya supaya sentiasa dilihat neutral samada di dalam atau di luar mahkamah bagi memastikan integriti sebagai hakim tidak dipersoalkan. Demikian menurut YAA Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos, Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang dalam ucapannya semasa menyampaikan Bicara Perundangan bersama mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman di Dewan Kuliah 1 KUIPSAS hari ini.

Beliau turut menasihati mahasiswa agar menguasai Bahasa Arab serta Kitab-Kitab Fiqh supaya menjadi seorang Pengamal Undang-Undang Syariah yang berkaliber selepas tamat pengajian kelak. Dalam program tersebut juga, YAA berkongsi pengalaman sepanjang bergelar Qadhi Besar dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah serta pengalaman beliau semasa terlibat dalam proses transisi pemisahan Mahkamah Syariah daripada Jabatan Agama Islam Pahang.

Program disertai oleh semua mahasiswa Tahun 1 yang mengambil kursus Sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia dibawah seliaan Puan Azriana Bt Ridouan. Turut hadir ialah En. Saifuddin bin Abdul Karim, Ketua Jabatan Syariah KUIPSAS.