Atlet KUIPSAS membawa obor perjuangan sukan MASISWA 2020

6 Februari 2020 (KUANTAN) – Utamakan solat secara berjemaah menjadi pesanan penting Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin kepada atlet-atlet KUIPSAS yang akan menyertai Kejohanan Majlis Sukan IPTS (MASISWA) Peringkat Zon Timur Tahun 2020. Beliau juga menyeru semua atlet KUIPSAS supaya sentiasa menjaga akhlak dan peribadi mulia sepanjang kejohanan serta memberikan persaingan yang terbaik dalam semangat kesukanan yang tinggi.

Demikian intipati ucapan beliau dalam Majlis Penyerahan Bendera KUIPSAS kepada kontinjen KUIPSAS yang akan menyertai MASISWA 2020 Peringkat Pantai Timur. Beliau kemudian menyerahkan Bendera KUIPSAS kepada Ketua Kontinjen serta melaungkan sorakan semangat ‘KUIPSAS BOLEH’ serta merakamkan gambar kenang-kenangan.

Kontinjen KUIPSAS membariskan 75 orang atlet (55 siswa dan 20 siswi) serta 10 orang pegawai dalam edisi MASISWA kali ini. Sebanyak 6 acara disertai iaitu bola sepak, bola jaring, bola tampar, badminton, sepak takraw dan e-sport. Kejohanan yang akan berlangsung di Kolej Universiti TATI, Kemaman itu akan disertai sebanyak 16 kontinjen IPTS di pantai timur.