Asrama KUIPSAS Dijadikan Stesyen Kuarantin Tempatkan Calon SPM

5 Februari 2021 (KUANTAN) – Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Asrama KUIPSAS sebagai Stesyen Kuarantin (QS) bagi menempatkan calon-calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang keluarga mereka terjejas kerana dijangkiti virus Covid-19. Seramai 19 orang pelajar terdiri daripada 12 lelaki dan 7 perempuan telah ditempatkan di sini sejak semalam.
KUIPSAS bersama-sama agensi lain seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menyediakan 200 bilik asrama untuk menempatkan calon-calon SPM 2020 di sini.
KUIPSAS turut menyediakan kemudahan WiFi bagi membolehkan mereka mengikuti PdPR dan mengulang kaji pelajaran semasa berada di sini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail turut melakukan tinjauan di KUIPSAS pada hari ini sebelum disusuli oleh YB. Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang.