Akui Terkejut, Hanani Muncul Juara Tilawah Dalam Penyertaan Kali Pertama

6 Februari 2020 (KUANTAN) – Sangat terkejut, sebak dan bercampur gembira. Begitulah perasaan selepas namanya diumumkan sebagai Juara Kategori Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Kali Ke-63 Tahun 1441H/2020M Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur dalam Majlis Perasmian Penutupannya pada malam ini.

 

Saudari Norhanani binti Ayob mengakui dia tidak menyangka sama sekali untuk muncul juara kerana saingan yang diterima sangat tinggi daripada peserta-peserta lain yang lebih berpengalaman bertanding di peringkat negeri. Percubaan kali pertamanya di peringkat negeri ini berhasil selepas 6 tahun menyertai Majlis Tilawah Al-Quran pada peringkat daerah. Beliau memperolehi 84.00% markah dan mewakili Daerah Bentong bagi majlis tilawah tahun ini.

 

 

Norhanani bt Ayob, 24 yang berasal dari negeri Perak dan kini bermastautin di Bentong, Pahang merupakan Alumni KUIPSAS yang memiliki Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Bahasa Arab Dan Tamadun Islam. Beliau mengikuti pengajian di KUIPSAS pada tahun 2014 sehingga 2017. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Tambah beliau, kemenangan ini sangat disyukuri olehnya dan dianggap sebagai balasan Allah SWT kepada amalan kebaikan yang dilakukannya walaupun tidaklah sebanyak dan sebaik umat Islam yang lain. Beliau juga menyatakan bahawa tiada rahsia khusus yang menjadi resepi kemenangannya pada tahun ini. Namun, guru Al-Qurannya sentiasa berpesan supaya bacalah Al-Quran semata-mata kerana Allah SWT. Nasihat itulah yang dipegangnya dalam setiap pertandingan yang disertainya supaya niatnya sentiasa terpelihara semasa membuat persembahan bacaan Al-Quran di atas pentas pertandingan. Bagi menghadapi pertandingan ini juga, beliau tidak lupa untuk memanjatkan doa supaya Allah SWT memudahkan semua urusan dan melancarkan bacaan yang dipersembahkan sebelum bertawakkal dan meyakini segala ketentuan yang Allah tetapkan kepada dirinya dalam pertandingan tersebut.

 

Ditanya mengenai tips yang boleh dikongsikan supaya Al-Quran sentiasa dekat dengan dirinya, beliau sentiasa mencuba dan memaksa diri untuk membuka dan membaca Al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat atau satu surah tanpa mengira panjang atau pendek. Beliau juga sentiasa mengingatkan dirinya supaya belajar daripada guru Al-Quran untuk memperbaiki hukum tajwid dalam bacaan serta persembahan tarannum.

 

Kepada generasi muda seusia dengannya serta masyarakat Islam umumnya, beliau berharap supaya kita semua tidak meninggalkan Al-Quran dalam kehidupan seharian kerana semakin dekat dengan Allah dan Al-Quran, kita akan dapat merasai perbezaannya dalam kehidupan seharian. Nasihat beliau supaya kita semua memaksa diri untuk membuka dan membaca Al-Quran walau kita sentiasa sibuk dengan urusan harian. Kepada generasi muda yang mempunyai bakat dalam tilawah Al-Quran dan tarannum, beliau menasihati supaya mencari guru yang akan mengasah bakat tersebut dengan lebih baik pada masa hadapan.

 

Sebagai Juara Kategori Qariah, Norhanani membawa pulang wang tunai RM8,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Kali Ke-63 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

 

Sebagai juara, beliau akan mewakili Negeri Pahang dalam Majlis Tilawah Al-Quran Kali Ke-63 Tahun 1441H/2020M Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 hingga 21 Februari 2020 nanti.