Tiada NCR, SIRIM Sambung Pensijilan MS Dan ISO

30 Jun 2020 (KUANTAN) – Tiada penemuan dan ketidakakuran yang dilaporkan oleh pasukan Auditor SIRIM yang selesai menjalankan Sesi Audit Pensijilan Semula MS1900:2014 dan ISO9001:2015 di KUIPSAS pada hari ini. Demikian menurut Cik Hjh. Hanida Ghazali yang bertindak selaku Ketua Pasukan Auditor SIRIM dalam Mesyuarat Penutupan Audit di Dewan Senat KUIPSAS.

Beliau kemudiannya menyatakan bahawa tanpa Laporan Ketidakakuran (NCR) ini, Pensijilan MS1900:2014 dan ISO9001:2015 yang dimiliki oleh KUIPSAS akan disambung selama 3 tahun lagi sehingga 2023.

Turut hadir semasa Mesyuarat Penutupan Audit ialah Mejar Mohd Zamri bin Wahab, Wakil Pengurusan merangkap Pendaftar KUIPSAS, Timbalan-Timbalan Rektor, Bendahari, Pegawai-Pegawai Kanan KUIPSAS, AJK ISO dan Unit Kualiti KUIPSAS.

Sesi Audit Pensijilan Semula oleh SIRIM yang dijalankan selama 2 hari ini melibatkan 4 orang auditor. Mereka terdiri daripada Cik Hjh. Hanida Ghazali (Ketua), En. Khalid Saleman, En. Mohd Hisyam Mahadi dan Ustaz Hisham Sabri (Pakar Teknikal Syariah).

KUIPSAS komited untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik dan berkualiti kepada semua pelajar dan ibu bapa / penjaga. Pensijilan MS1900:2014 dan ISO9001:2015 yang dimiliki oleh KUIPSAS sejak tahun 2014 ini menjadi manifestasi komitmen tersebut.