Tengku Amir Lawat KUIPSAS

20 Mei 2020 (KUANTAN) – Warga KUIPSAS sangat bertuah hari ini kerana menerima lawatan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Lawatan ini julung kali dilakukan selepas YAM Tengku dilantik sebagai TYDP MUIP.
Ketibaan YAM Tengku pada jam 10.00 pagi disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Pengurusan Kanan KUIPSAS. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk meninjau perkembangan semasa Makmal Hadis KUIPSAS yang sudah mula beroperasi pada ketika ini.
Makmal Hadis ini merupakan amanat dan hasrat murni Canselor KUIPSAS yang pertama, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah semasa hayat Baginda. Untuk tujuan itu, peruntukan sebanyak RM100,000 telah disalurkan oleh MUIP kepada KUIPSAS bagi menjayakan hasrat murni ini.
Di samping itu, YAM Tengku juga mendengar pembentangan taklimat mengenai KUIPSAS secara keseluruhannya dan menyampaikan pandangan mengenai ruang-ruang kerjasama seterusnya di antara MUIP dan KUIPSAS pada masa hadapan.
Tengku Panglima Raja
Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
Kerajaan Negeri Pahang