Seminar Pemakaian Atlet Patuh Syariah Hasilkan Resolusi

21 Januari 2020 (KUANTAN) – Resolusi seminar yang mengandungi lima perkara utama akan dijadikan Garis Panduan Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang kepada rakyat negeri Pahang yang terlibat dalam aktiviti sukan dan riadah. Resolusi dibentangkan oleh YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Bin Haji Hussain, ​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dalam Majlis Perasmian Penutupan Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Auditorium KUIPSAS pada hari ini.

Lima perkara yang terkandung dalam resolusi tersebut ialah Objektif Garis Panduan Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah, Konsep Pemakaian Patuh Syariah, Definisi Pakaian Patuh Syariah, Realiti Semasa dan Jenis-Jenis Sukan Tumpuan Pemakaian Patuh Syariah Negeri Pahang. Resolusi ini kemudiannya diserahkan kepada YAB. Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail dalam majlis tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB. Menteri Besar menyatakan bahawa perkembangan pemakaian atlet patuh syariah semakin positif dan secara tidak langsung atlet yang berpakaian sedemikian menjadi contoh, bahawa sesiapa sahaja boleh bersukan dan mencapai kejayaan walaupun dengan pakaian patuh syariah. Tambah beliau, resolusi yang diterimanya hari ini perlu diperhalusi dengan kajian pihak sewajarnya seperti mufti, pakar syariah, persatuan sukan dan ahli akademi, sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Seminar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama KUIPSAS, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Sukan Pahang (MSP), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) itu disertai seramai 480 peserta yang terdiri daripada atlet sukan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), atlet dan jurulatih sukan di bawah seliaan Majlis Sukan Pahang (MSP), wakil-wakil agensi kerajaan, aktivis-aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pensyarah dan pelajar IPT tempatan.

Sebanyak tiga (3) kertas kerja telah dibentangkan sepanjang seminar berlangsung iaitu :
a. “Pemakaian Atlet Sukan Menurut Perspektif Maqasid Syariah Kontemporari” oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Haji Ahmad Wifaq bin Mokhtar, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
b. “Garis Panduan Pemakaian Atlet Sukan di Negeri Pahang” oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Irwan Sobri, Pengarah Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), USIM.
c. “Perkongsian Pengalaman Majlis Sukan Negeri Terengganu Dalam Pelaksanaan Pemakaian Atlet Patut Syariah” oleh YB Haji Hishamuddin bin Abdul Karim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan Dan NGO Negeri Terengganu.