Rektor Sampaikan Amanat Di Awal Semester

23 Disember 2019 (KUANTAN) – Pelbagai usaha dilaksanakan oleh pengurusan KUIPSAS supaya siswa-siswi dapat menjalani kehidupan di KUIPSAS dalam keadaan yang selesa. Ini termasuklah menyediakan kemudahan-kemudahan baharu serta meningkatkan kemudahan yang sedia ada. Demikian menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS dalam program Perhimpunan Pelajar sempena permulaan sesi baharu pengajian semester 2 2019/2020.

Menurutnya lagi, di antara kemudahan yang dimaksudkan ialah menyediakan liputan WiFi percuma di seluruh kampus,
menyediakan 20 juta judul buku elektronik (ebook) untuk rujukan serta membaik pulih fasiliti KUIPSAS bagi keselesaan pelajar.

Beliau juga mengambil kesempatan menasihati siswa-siswi supaya memastikan kehadiran ke semua kuliah, tutorial dan makmal yang telah dijadualkan serta menggalakan pelajar menunaikan solat berjemaah di Masjid KUIPSAS.

Beliau seterusnya memaklumkan kepada siswa-siswi mengenai perancangan KUIPSAS untuk mengurangkan penggunaan kenderaan di dalam kampus ke arah menjadikan KUIPSAS sebagai kampus bebas kenderaan pelajar pada tahun 2021. Dari segi akademik pula, Rektor KUIPSAS memaklumkan sasaran peningkatkan peratusan kelulusan peperiksaan daripada 95% kepada 97%.

Dalam majlis yang sama turut diadakan Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPPKUIPSAS) serta Penyampaian Sijil Anugerah Dekan kepada siswa-siswi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengajian pada semester yang lalu.