Prof Fariza Dilantik Profesor Pelawat UnIPSAS

24 Februari 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS hari ini melantik YBrs. Prof. Dr Fariza Binti Md Sham sebagai Profesor Pelawat. Beliau merupakan Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Prof. Dr Fariza yang berasal dari Chenor, Pahang memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengajian Islam, Dakwah dan Pembangunan Insan. Bidang kepakarannya ialah Dakwah, Pembangunan Remaja dan Psikologi Islam.
Sebagai seorang tokoh akademik, beliau telah memberikan sumbangan dalam bidang psikologi dakwah remaja dan psikologi Islam pada peringkat nasional dan antarabangsa. Pelbagai agensi telah mendapat manafaat daripada sumbangan beliau seperti JAKIM, YADIM, Jabatan Agama Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Penjara dan MQA.
Sebagai anak jati negeri Pahang, beliau turut berperanan sebagai Ahli Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Penasihat Akademik UnIPSAS, penulis teks titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Pengerusi Dewan Pendidikan Majlis Dakwah Negara (MDN) Negeri Pahang.
Warkah Pelantikan beliau sebagai Profesor Pelawat UnIPSAS disampaikan oleh Naib Canselor, YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini b. Omar sempena Program Perjumpaan Ketua Pengarah Pendidkan Tinggi Bersama Anggota Kerja UnIPSAS di Dewan Sultan Ahmad Shah UnIPSAS.