Pensyarah KUIPSAS Ditauliah Juru Tunjuk Jurus Tunggal Peringkat Antarabangsa

11 Januari 2020 (JAKARTA) – Pensyarah KUIPSAS, En. Mohd Faizul b. Abdul Hadi Nor mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ditauliahkan sebagai Juru Tunjuk Jurus Tunggal dan Jurus Regu Antarabangsa selepas menyertai kursus juru tunjuk tersebut yang berakhir pada hari ini. Pengiktirafan peringkat antarabangsa ini ditauliahkan oleh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT).

Kursus selama 4 hari tersebut diadakan di Padepokan Pencak Silat TMI, Jakarta, Indonesia dan disertai seramai 28 orang peserta dari Malaysia. Dengan pentauliahan yang diperolehi ini membolehkan En. Mohd Faizul untuk mengajar dan menjadi wasit juri kategori silat seni hingga ke peringkat antarabangsa. Pentauliahan ini juga merupakan keizinan rasmi daripda PERSILAT untuk menjadi juru tunjuk silat seni yang diperakui di seluruh dunia

Pentauliahan disampaikan oleh Bapak Arko Murjono, Timbalan Setiausaha Agong Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang turut dihadiri oleh Cikgu Faid b. Musa- Presiden Persekutuan Silat Putrajaya dan Cikgu Kamarul Arifin b. A. Latib – Setiausaha Jawatankuasa Teknikal Wasit Juri Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA). En. Mohd Faizul merupakan pensyarah Fakulti Pengajian Pengurusan KUIPSAS.