Pemangku Raja Pahang Dimasyurkan Sebagai Canselor KUIPSAS

3 SEPTEMBER 2019 | 3 MUHARAM 1441 H

PEMANGKU RAJA PAHANG DIMASYHURKAN SEBAGAI CANSELOR KUIPSAS

1. Sukacita dimaklumkan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah mengadakan Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen ke-18 pada hari ini, 3 September 2019 bersamaan 2 Muharam 1441H bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Tema yang dipilih untuk Istiadat pada tahun ini ialah ‘Kebitaraan Modal Insan’.

 

2. Istiadat pada hari ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila didahului dengan Pemasyhuran Canselor KUIPSAS yang baharu iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

3. KDYMM Tuanku dimasyhurkan sebagai Canselor KUIPSAS yang kedua menggantikan ninda Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

 

4. Seramai 360 graduan layak bergraduasi pada istiadat kali ini. Jumlah ini merupakan bilangan kedua tertinggi sejak KUIPSAS mengadakan Istiadat Konvekesyennya pada 1999. Jumlah ini menjadikan bilangan keseluruhan graduan yang telah dihasilkan oleh KUIPSAS ialah seramai 5,328 orang sejak ianya ditubuhkan.

 

5. Kesemua graduan merupakan mahasiswa peringkat Diploma di KUIPSAS yang telah menamatkan pengajian mereka dalam 17 buah program Diploma daripada 4 Fakulti Pengajian yang ditawarkan di KUIPSAS. Kesemua graduan akan dikurniakan Diploma mereka oleh KDYMM Tuanku Canselor.

 

6. Lebih menarik, Istiadat Konvokesyen pada hari ini menyaksikan penganugerahan Diploma graduan-graduan sulung yang menamatkan pengajian dalam 4 bidang iaitu :
a. Diploma Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak
b. Diploma Kaunseling Islam
c. Diploma Pengajian Quran Dan Sunnah
d. Diploma in English

 

7. Seramai 1,500 orang tetamu dan jemputan dijangka hadir ke Istiadat pada hari ini yang merangkumi Ahli Jumaah Pangkuan Pahang dan kerabat-kerabat bergelar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Ahli-Ahli Dewan Negeri Pahang, Ahli-Ahli Parlimen, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Wakil-Wakil Institusi Pengajian Tinggi, Wakil Pihak Industri, Pengetua-Pengetua Sekolah dan Ibu Bapa / Penjaga para graduan.

 

8. Selain menyaksikan Pemasyhuran Canselor yang baharu serta kelahiran graduan sulung dalam 4 program Diploma, Istiadat kali ke-18 ini juga menarik perhatian orang ramai apabila menggunakan Tulisan Jawi sepenuhnya dalam semua bahan cetakan dan edaran sepanjang Istiadat berlangsung. Hal ini merupakan usaha berterusan yang dimainkan KUIPSAS selepas menjadi Pusat Rujukan Tulisan Jawi Negeri Pahang. Penggunaan Tulisan Jawi seperti ini dilihat mampu menaikkan semula maruah tulisan ini serta mendedahkan penggunaannya kepada orang ramai di samping dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan mempertahankan Tulisan Jawi dalam kalangan anggota masyarakat.

 

9. Di samping itu, Istiadat kali ini juga akan menyaksikan pengurniaan peruntukan kewangan daripada KDYMM Tuanku Canselor melalui Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada KUIPSAS bagi membina Akademi Hadis di KUIPSAS. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM100,000 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu Sahaja). Pembinaan Akademi Hadis yang betujuan untuk mengumpul dan mendokumentasikan manuskrip Hadis dan menyediakan prasarana serta kemudahan bagi pencarian, perbincangan dan penghasilan Hadis berdasarkan isu-isu kontemporari ini merupakan amanat dan hasrat murni Canselor KUIPSAS yang pertama, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah semasa hayat Baginda.

 

10. KUIPSAS merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pemasyhuran Baginda selaku Canselor KUIPSAS yang kedua pada hari ini. Sesungguhnya pemasyhuran ini akan dapat meningkatkan lagi imej KUIPSAS sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pahang.

 

11. KUIPSAS juga mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah kepada semua graduan yang dikurniakan Diploma pada hari ini. Harapan besar KUIPSAS kepada semua graduan agar menginsafi bahawa Diploma yang diterima merupakan amanah ilmu yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan umat. Graduan diharapkan agar dapat menyumbang bakti kepada masyarakat berlandaskan ilmu pengetahuan yang telah diterima di KUIPSAS.