CANSELOR

CANSELOR

Biografi Canselor

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim  Alam Shah Ibni  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  telah diputerakan pada tanggal 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

 

Baginda memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Saint Thomas, Kuantan Pahang pada tahun 2002 hingga 2005. Baginda kemudiannya menyambung pengajiannya ke Caldicott Preparatory School, London, United Kingdom pada tahun 2006 hingga 2009 dan  Sherborne School, London, United Kingdom pada tahun 2009 hingga 2014. Baginda seterusnya menyambung pengajian di Geneva School Of Diplomacy And International Relation pada tahun 2015 hingga 2018 dan memperoleh Bachelor of Arts in International Relations.

 

Pada tanggal 27 September 2018, baginda telah mengikuti latihan “Initial Cadet Familiarsation Training Programme” di Kem Batu 10, Kuantan Pahang. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia pada 31 Oktober 2018. Pada  18 Jun 2018,  baginda  telah dikurniakan gelaran  Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang. Baginda kini sedang mengikuti Kursus Commissioning Course, Royal Military Academy Sandhurst sehingga Disember 2019.

 

Baginda amat meminati bidang sukan. Pada 25 Jun 2016, baginda telah menyertai acara perlawanan amal “The Jerudong Park Polo Trophy” bersama His Royal Highness Prince William Duke Of Cambridge dan His Royal Highness Prince Harry di Cirencester  Park Polo Club, England. Turut berangkat bersama menyaksikan perlawanan tersebut ialah Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Selain meminati sukan berkuda, baginda juga meminati sukan lain seperti ragbi, bola sepak, golf, menembak dan sukan rakyat.