Nama Islam Kekal Selepas Jadi Universiti

27 OGOS 2021 (KUANTAN) – Perkataan Islam dalam nama baharu KUIPSAS selepas menjadi Universiti Penuh akan dikekalkan bagi memastikan ‘niche area’ atau bidang tujahan untuk mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli akan dapat dipertahankan. Demikian menurut Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin ketika ditemu bual dalam rancangan ‘Talk Show’ Sejarah Suku Abad Terbina sempena Sambutan Jubli Perak KUIPSAS.
Tambah beliau lagi, KUIPSAS akan mengorak maju ke hadapan selepas 25 tahun dan menjadi Universiti Penuh dengan menawarkan program pengajian PhD, program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) serta Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu, APEL A dan APEL C. Semua usaha ini bagi memenuhi hasrat menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi kepada semua kelompok masyarakat berasaskan konsep pengajian bermula dari buaian hingga ke liang lahad akan dapat direalisasikan.
Program ‘Talk Show’ ini diadakan secara langsung di Facebook KUIPSAS sebagai penutup kepada Sambutan Jubli Perak KUIPSAS yang berakhir hari ini. Rancangan selama dua jam itu memaparkan video temu bual dan ucapan daripada Menteri Besar Pahang, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Ahli-Ahli Lembaga Pengelola, Canselor dan Pro-Canselor, Panorama KUIPSAS, Mantan Presiden dan Rektor, Jejak Alumni dan Anggota Kerja KUIPSAS yang setia berkhidmat selama 25 tahun.
Program dikendalikan oleh dua orang pengacara iatu En. Wan Emril Nizam bin Wan Embong dan Pn. Nor Azah bt Abdul Jalil.