KUIPSAS Terima Pelantikan Rektor Baharu

KUIPSAS TERIMA PELANTIKAN REKTOR BAHARU

19 Jun 2019 (KUANTAN) :-

1. Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) hari ini menerima pelantikan Rektor yang baharu, iaitu Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Surat pelantikan tersebut telah disampaikan oleh YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang yang diadakan pada pagi tadi di Bangunan Wisma Sri Pahang, Kuantan. Pelantikan ini juga merupakan Ketua Eksekutif KUIPSAS yang ke-5 serta Rektor yang ke-2 selepas KUIPSAS dinaiktaraf menjadi Kolej Universiti pada tahun 2015 yang lalu.

 

2. Pelantikan ini bagi menggantikan YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin yang telah berkhidmat di KUIPSAS sebagai Presiden bermula pada 1 April 2013 hingga hari ini.

 

3. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin memegang Ijazah Doktor Falsafah (Ph. D) dalam bidang Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012. Sebelum itu, beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya pada tahun 2002. Beliau juga memegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah yang diperolehi dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1996.

 

4. Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi menjadi warga kerja KUIPSAS (ketika itu KIPSAS) sejak 13 Januari 1997 dan pernah menjawat beberapa jawatan penting sepanjang perkhidmatannya sebelum dilantik ke jawatan Rektor pada hari ini. Beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Lembaga Akademik, Penyelaras Peperiksaan, Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Ketua Pembangunan Akademik, Ketua Warden Asrama, Dekan Sekolah Pengajian Islam, Ketua Editor Jurnal al-Sirat KIPSAS, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akademik, Pembantu Penyelaras ISO MS 1900:2005, Ahli Jawatankuasa Sekretariat Syariah ISO MS 1900:2005, Urusetia Menaiktaraf KIPSAS Kepada Kolej Universiti, Menjalankan Tugas Naib Presiden Akademik dan terakhir sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan.

5. Sebagai seorang tokoh akademik dan figura agamawan yang dikenali di negeri Pahang, beliau turut memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negeri Pahang melalui beberapa Jawatankuasa yang disertainya. Di antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah, Petugas Sukan Malaysia XV Pahang 2012, Imam 2 Surau al-Raudhah Taman Guru Kuantan, Ahli Jawatankuasa Alumni Kuliah Sultan Abu Bakar Pekan, Fasilitator Kursus Pra-Perkahwinan JAIP, Ahli Dai’e Zakat Pahang, Guru Ta’mir Daerah Kuatan, Ahli Jawatankuasa Khutbah Jumaat Negeri Pahang, Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Pahang, Ahli Jawatankuasa Persatuan Cendekiawan Islam Pahang, Ahli Jawatankausa Pendidikan Islam Negeri Pahang dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Kutipan Zakat Pahang.

 

6. Atas sumbangan beliau kepada pembangunan masyarakat, agama dan negeri, beliau telah dikurniakan pingat Ahli Mangku Pahang (AMP) pada 2009 dan Setia Mahkota Pahang (SMP) pada 2014.

 

7. Beliau yang berasal dari Kampung Batu Balik, Pekan, Pahang berkahwin dengan Puan Rohaiza binti Abdul Rahman dan memiliki keluarga yang bahagia bersama 6 orang cahaya mata.

 

8. Sebagai Rektor yang baharu, beliau beriltizam untuk meneruskan kecemerlangan KUIPSAS dalam menawarkan program pengajian serta berhasrat untuk menjadikan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat yang terbaik serta akan berusaha untuk menawarkan program-program pengajian baharu yang relevan dengan keperluan semasa industri bagi memacu pembangunan negeri dan negara ke arah yang lebih baik.

 

9. Ahli Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Pengelola dan seluruh warga KUIPSAS merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin atas perkhidmatan cemerlang beliau memimpin KUIPSAS selama 6 tahun sehingga KUIPSAS dikenali dengan lebih meluas di seluruh negara. KUIPSAS turut mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua bidang yang diceburinya selepas menamatkan perkhidmatan di KUIPSAS.

 

10. Maka dengan ini, sukacita dimaklumkan bahawa Ybhg. Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin telah dilantik sebagai Ketua Eksekutif KUIPSAS yang ke-5 serta Rektor yang ke-2 berkuat kuasa pada 19 Jun 2019.

 

TAMAT

Disediakan oleh,
Jabatan Perhubungan Korporat
Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS)
KM. 8 Jalan Gambang, 25150 Kuantan, Pahang
09-5365353