KUIPSAS sedia makanan percuma

Harian Metro | Khamis, 19 Mac 2020 @ 9:22 AM

Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Kuantan menyediakan kemudahan makanan percuma kepada 100 penuntut yang tidak berpeluang pulang ke kampung masing-masing.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIPSAS, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, kemudahan itu bertujuan untuk meringankan beban selain memberi lebih keselesaan kepada penuntut terbabit.

Mereka terpaksa tinggal di asrama berikutan arahan penutupan sementara pusat pendidikan oleh kerajaan berikutan penularan Covid-19 di negara ini.

Katanya, penuntut disediakan makanan tiga kali sehari dan diberikan secara bungkus untuk dimakan di asrama.

Selain itu, mereka sentiasa dinasihatkan supaya menjaga kebersihan.

Menurutnya, 60 penuntut terbabit adalah pelajar tajaan Yayasan Sabah, selebihnya dari beberapa negeri lain yang tidak berpeluang untuk pulang ke kampung termasuk sedang menunggu untuk pulang.

“Seorang warden ditugaskan untuk memantau semua pelajar bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selesa di asrama, pengangkutan turut disediakan sekiranya berlaku kecemasan dan penuntut ingin membeli barangan keperluan harian.

 

“Bagi penuntut yang ingin pulang ke kampung, warden turut akan membantu mendapatkan tiket bas dan menghantar mereka ke terminal bas,” katanya selepas mengagihkan makanan kepada penuntut di kafe asrama, malam tadi.

Beliau menambah, semua penuntut tidak dibenarkan keluar dari dalam kawasan kampus.

Katanya, pengawal keselamatan sentiasa membuat rondaan selain mengawal dua pintu masuk.

 

Asmadi berkata, ibu bapa diharap tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak mereka kerana KUIPSAS sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan penuntutnya.

Bagi Azyeta Chee Thein Seong@Rushidy, 27, dia bersyukur dengan bantuan makanan percuma yang disediakan KUIPSAS.

“Kebajikan kami sentiasa dijaga walau dalam apa juga keadaan,” katanya yang berasal dari Keningau, Sabah.

 

Sumber : https://www.hmetro.com.my/…/5…/kuipsas-sedia-makanan-percuma