Bengkel Penubuhan Darul Ifta Di Negeri Pahang

20 Januari 2020 (KUANTAN) – Bengkel Penubuhan Darul Ifta di Negeri Pahang diadakan pada hari ini bertempat di Grand Darul Makmur Hotel. Bengkel ini diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim dan turut dihadiri oleh SS Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman, Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, pegawai-pegawai kanan daripada Pejabat Kewangan Negeri Pahang, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Bahagian Teknologi Maklumat PSUK Pahang dan pengurusan kanan KUIPSAS.

Dalam ucapan aluannya, YH. Dato’ Mohd Zakaria menjelaskan Kerajaan Negeri Pahang telah ditawarkan oleh Darul Ifta Mesir untuk menubuhkan Darul Ifta di Negeri Pahang semasa delegasi Kerajaan Negeri mengadakan Kunjungan Hormat ke sana pada bulan November 2019 yang lalu. Beliau juga berharap agar bengkel yang diadakan ini akan dapat merangka penubuhan Darul Ifta ini secara keseluruhan.

Penubuhan Darul Ifta di Negeri Pahang ini bertujuan untuk melahirkan mufti yang berkemampuan dan pakar dalam memahami syarak dan realiti semasa, membolehkan penentuan hukum-hukum syarak semasa secara wasatiyyah, menyebar luas rujukan Darul Ifta’ dalam penghasilan fatwa, mengatasi masalah kekurangan pengetahuan sebahagian pemberi-pemberi fatwa dari sudut metodologi yang khusus dalam bidang fatwa serta membuka peluang pengajian kepada lebih ramai pelajar yang berminat dari seluruh pelosok dunia melalui pengajian jarak jauh.

Di akhir program, Pengarah Bengkel, Encik Hanif bin Abu Samah mengendalikan sesi pembentangan gerak kerja pelaksanaan penubuhan Darul Ifta ini merangkumi sudut kewangan, sumber manusia, penyediaan prasarana fizikal dan ICT, perundangan dan pengiktirafan serta pemasaran.