UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

9 Ogos 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini sangat bertuah kerana menerima lawatan daripada pihak pengurusan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Singapura. Lawatan yang disertai seramai 9 orang kakitangan ini diketuai oleh Tuan Syed Mustafa Alsagoff, Mudir Madrasah. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau kemudahan-kemudahan yang disediakan di KUIPSAS selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program pengajian yang ditawarkan di KUIPSAS.

Sepanjang lawatan berlangsung, delegasi Madrasah Alsagoff telah dibawa melawat Perpustakaan KUIPSAS. Mereka telah diberikan penerangan oleh Pn. Azrianie Roslan, Ketua Pustakawan, mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Perpustakaan KUIPSAS. Delegasi kemudiannya dibawa bertemu dengan 16 orang bekas pelajar Diploma KUIPSAS yang sedang mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti di Jordan. Dalam sesi ramah mesra ini, Mudir Madrasah Alsagoff turut mengambil peluang memberikan nasihat dan tips untuk mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar nanti.

Delegasi seterusnya dibawa melawat ke Auditorium KUIPSAS yang baru siap dibina. Dalam taklimat mengenai projek pembinaan auditorium yang telah disampaikan oleh Penolong Pendaftar Pentadbiran Am, En. Mohd Sufian Ibrahim, beliau menyatakan auditorium ini akan merancakkan lagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran di KUIPSAS serta akan diserahkan dalam masa terdekat kepada KUIPSAS.

Lawatan diakhiri dengan sesi ramah mesra dan bertukar-tukar maklumat mengenai program-program pengajian di KUIPSAS serta cadangan kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang demi kebaikan bersama kedua-dua pihak.

KUIPSAS sangat berbesar hati menerima lawatan yang sangat bermakna ini sebagai tanda kerjasama dan persefahaman erat di antara kedua pihak. Dr. Sharafudin Aisa Osman (Timbalan Rektor HEPA) yang mengetuai pihak KUIPSAS dalam lawatan ini berharap agar kerjasama lebih erat dapat direalisasikan pada masa akan datang. Lawatan ini juga sangat bermakna kerana turut dihadiri oleh dua oleh bekas pelajar diploma KUIPSAS berasal dari Singapura yang kini menjawat jawatan Ketua Jabatan di Madrasah Alsagoff.

         

Loading...