UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH
12 November 2020 (PUTRAJAYA) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menyertai Delegasi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Milik Kerajaan Negeri Pahang mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengajian Tinggi, YB. Dato’ Sri Noraini binti Ahmad di Pejabat YB. Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Presint 5, Putarjaya.
Delegasi IPT Milik Kerajaan Negeri Pahang diketuai oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang.
Selain Rektor KUIPSAS, delegasi turut disertai oleh Naib Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), YBrs. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Zainuddin, Ketua Eksekutif Pahang Skills Development Centre (PahangSkills), YBrs. Encik Suris bin Mihat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), YBrs. Ustaz Mohd Lafzul bin Muda.
Dalam pertemuan tersebut, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim dan ahli-ahli delegasi telah mengemukakan beberapa perkara kepada pengetahuan YB. Menteri. Di antara perkara yang dibincangkan ialah mengkaji semula standard program MQA kerana syarat kemasukan yang ditetapkan terlalu tinggi dan menyukarkan IPT mendapatkan pelajar yang mempunyai kelayakan tahap rendah terutama pelajar-pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang bagi peperiksaan STAM.
Selain itu, delegasi turut menarik perhatian YB. Menteri mengenai jumlah pinjaman PTPTN kepada golongan M40 yang terjejas dengan pendemik Covid-19, memberi peruntukan khas penyelidikan kepada IPT Milik Kerajaan Negeri Pahang, menaik taraf KUIPSAS menjadi universiti Islam penuh dan begitu juga dengan UCYP serta permohonan memperbaharui Perakuan Pendaftaran KUIPSAS yang telah dihantar sebelum ini.
Selain YB. Menteri, semua perkara yang dibangkitkan oleh delegasi turut dibincangkan bersama dengan wakil-wakil KPT dan agensi-agensinya yang terdiri daripada YBhg. Datuk Seri Dr. Mazlan bin Yusoff (KSU), YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa bin Ishak (KPPT), YBrs. Dr. Mohd Zabri bin Yusoff (TKSU Dasar), YBrs. Datuk Rusli bin Yaakub (TKSU Pengurusan & Pembangunan).
Turut hadir ialah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini bin Omar (Ketua Pegawai Eksekutif MQA) dan YBhg. Encik Ahmad Dasuki bin Abdul Majid (Ketua Eksekutif PTPTN).
Loading...