Biografi Canselor

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah telah diputerakan tepat jam 12.00 tengah hari pada hari Jumaat, 24 Oktober
1930 di Istana Mangga Tunggal (Bersebelahan Istana Kuning, Pekan Lama), Bandar Diraja Pekan.
Baginda merupakan anakanda ketiga Al - Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al - Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah dengan Al - Marhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajjah Fatimah Binti Al - Marhum Sultan Iskandar Shah.
Baginda diasuh dan dididik dalam pandangan serta perhatian Paduka Ninda Baginda iaitu DYMM Sultan Iskandar Shah Perak yang bersemayam di Kuala Kangsar, Perak.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu Di Kuala Kangsar, Perak.
Setelah tamat pelajaran darjah empat baginda telah melanjutkan pelajarannya ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan ketika itu baginda baru berusia 10 tahun.
Namun begitu, pelajaran baginda telah terganggu semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Baginda kemudiannya dibawa pulang ke Pahang.
Semasa zaman pendudukan Jepun Di Tanah Melayu, baginda telah dihantar belajar asas-asas agama di Kuliah Al-lughah Waddin Al- Sultan Abu Bakar, Padang Polo, Pekan. Baginda kemudiannya menyambung semula persekolahannya di Sekolah Clifford, Kuala Lipis. Di sana, baginda tinggal di asrama bersama-sama dengan para pelajar lain dan baginda sendiri tidak mahu dilayan seperti
putera raja, sebaliknya baginda banyak bergaul dengan pelajar-pelajar dari kalangan rakyat biasa. Baginda kemudiannya dihantar semula untuk menyambung pelajaran di sekolah lama baginda iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar.Pada 25 Mei 1944 , dalam satu upacara adat istiadat diraja yang meriah, baginda telah dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan. Sebagai waris takhta, gelaran tersebut telah dimasyhurkan bagi kali kedua pada 29 Mei 1949.
Pada tahun 1948 , baginda ke England dengan menaiki kapal laut yang bernama Audre Lebon dan pelayaran tersebut telah mengambil masa selama 25 hari. Baginda melanjutkan pelajaran di sekolah persendirian di Sussex sebelum memasuki Worchester College, Oxford bagi mengikuti Kursus Pentadbiran Awam dalam tahun 1950.
Setelah tamat pengajian di Oxford, baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University College Exeter, Devon dari tahun 1951-1953 dan mendapat latihan praktikal dalam bahagian kerajaan tempatan di Urban District Council Sidmouth, Devon.

 

 

             

Hakcipta Terpelihara 2015 © KUIPSAS

Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS),                                                                                                                                                                                                           Km. 8 Jalan Gambang, 25150 Kuantan, Pahang Darul Makmur                                                                                                                                                                                                         (T) 09-5915353 (F) 09-5364421 (E) webmaster@kuipsas.edu.my                                                                       Hak Cipta | Dasar Keselamatan | Dasar Privasi | Penafian | FAQ

Sesuai dipapar menggunakan Mozilla Firefox 2.0 & ke atas,                                                                                 Internet Explorer 2.0 & ke atas dan Google Chrome 2.0 & ke atas dengan menggunakan resolusi 1366 x 768